diari_alya
   

<< July 2008 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31


BISNES ON LINE UNTUK TAMBAH PENDAPATAN

free counter





Sekadar catatan

Buku adalah sesuatu yang jika anda pandang akan memberi nikmat yang panjang, dia akan menajamkan kemampuan intelektual,membuat lidah tidak kelu, dan membuat hujung jemari semakin cantik. Dia akan memperkayakan ungkapan-ungkapan anda, akan menenangkan jiwa, dan akan mengisi dada.

nukilan dari 'La Tahzan'
Widget_logo

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed










 
Tuesday, July 08, 2008
Secebis coretan
Diari Alya

Di sini hanyalah secebis dari apa yang telah saya ilhamkan. Hanya untuk suka-suka, tapi kalau ada yang sudi untuk memberikan pandangan yang bernas, dipersilakan.

SEMENJAK tiba di rumah Atuk malam semalam, Dayana masih belum berpeluang berjumpa dengan Asnawi. Asnawi dilihat seolah-olah sedang menjauhkan diri. Waktu makan pagi tadipun Asnawi tidak kelihatan. Menurut Anati, Asnawi mengambil sarapannya di bilik sahaja. Alasannya kurang sihat.

Atuk juga kehairanan, kerana semalam Asnawi nampak sihat sahaja. Asnawi biasanya begitu lasak bekerja, tidak kira hujan atau panas terik. Asnawi juga jarang minta cuti sakit. Mengapa pula malam ni dia berkurung di bilik? Atuk memandang wajah kecewa Dayana. Kesian, baru sahaja sampai tapi tidak disambut oleh kekasih hati, Asnawi.

Pak Long Leman juga kebingungan bila disoal Atuk. Asnawi tidak pernah berbual saol peribadinya walaupun dengan ayah sendiri. Dia tidak mampu membuat Asnawi untuk bercerita tentang masalahnya sejak dulu lagi.  Anaknya itu memang degil. Jika dia telah membuat sesuatu keputusan, tiada seorangpun yang mampu mengubahnya. Tapi apa yang membuatkan Asnawi menjauhkan diri dari Dayana? Jangan-jangan …… Pak Long tidak mahu meneruskan persoalannya, takut apa yang ada di fikirannya benar-benar akan terjadi.

(Scene lain....)

Dayana perasan, bukan kali ini sahaja Asnawi agak sukar membalas renungannya. Sejak kedatangannya ke kampung, Asnawi selalu mengelak dari bertentang mata dengannya.

‘Kenapa Awie? Yana ada buat salah ke? Apa silap Yana? Lama Awie tak bertanya khabar, kenapa Awie menyepi? Adakah Awie sudah berubah hati?’ bertalu-talu soalan yang ingin dilemparkan kepada Asnawi. Soalan yang sentiasa bermain di fikirannya. Tetapi semuanya hanya kedengaran di benaknya. Dayana menahan nafas, berdiri memeluk tubuh menanti jawapan dari mulut Asnawi.

Asnawi memandang ke tasik, mengeluh lagi. Begitu berat rasanya untuk melafazkan kata-kata. Dia menelan air liur, cuba mencari bait-bait yang sesuai untuk dilafazkan.

“Awie minta maaf, Yana. Awie tak tahu macamana nak sampaikan berita ini pada Yana,” Suaranya bergetar seketika. Dengan perlahan dia berpaling melihat Dayana buat pertama kalinya.

Jantung Dayana mula berdegup kencang. Dia dapat merasakan ada berita buruk yang ingin disampaikan Asnawi. Dari tindak balas dan perlakuan Asnawi, Dayana seperti sudah dapat menekanya serba sedikit. Tetapi dia hanya membisu, menunggu dan mendengar apa saja yang akan dituturkan oleh Asnawi.

“Dunia kehidupan kita jauh berbeza. Amat berbeza. Yana menetap di bandar besar, bekerja di sana. Tapi Awie lebih minat hidup dalam suasana kampung. Sunyi dari hiruk pikuk kenderaan siang dan malam.” Asnawi diam seketika. “Awie memang sayangkan Yana. Terlalu sayangkan Yana sehingga tidak sanggup untuk melukakan hati Yana – tapi sayang Awie hanyalah sekadar sayang seorang abang. Kita telah berkenalan sejak kecil. Awie sayangkan Yana, tetapi hati ini tidak dapat mencintai Yana seperti yang Yana inginkan. Awie dah cuba, bertahun Awie cuba tapi ….tak boleh,” Asnawi berusaha mengawal rasa sedih dan kecewa yang sedang membuak-buak dalam dirinya.

Kata-kata yang keluar dari mulut Asnawi membuatkan Dayana terasa mukanya kepanasan, telinganya berdesing seperti baru ditampar. Perasaannya bercampur baur sedih, marah, sayu mula menyelinap ke dada melompat naik hingga ke tekaknya. Perit. Dia ingin menangis, meraung di situ juga. Biar Asnawi tahu betapa pedih hatinya tatkala itu. Betapa kecewanya jiwa Dayana tatkala itu. Tetapi ditahan semuanya di dadanya yang sedang berombak.

Hanya terasa air mata panas mulai bergenang di kelopak mata. Dia patut memperkatakan sesuatu, tetapi dia tidak boleh berfikir dengan tenang. Fikirannya kabur. Tekaknya terasa pedih seperti ada sesuatu yang menghalang pengaliran air liurnya. Mulutnya terasa kering. Dia bingung. Bukan ini yang dia impikan. Bukan kata-kata pedih ini yang ingin didengarinya. Bukan! Bukan!

“Apakah Yana tidak boleh berkata sesuatu dalam hal ini? Atau mungkin kita boleh berbincng?” bisik Dayana dengan suara yang tersekat-sekat.

“Tidak.”

Satu perkataan, terlalu perlahan dan pendek sebutannya, tapi cukup kuat untuk menghancurkan hati Dayana. Inikah pengakhirannya? Begitu mudah sekali kesudahan kisah cinta agungnya? Inilah saat yang amat ditakutinya. Hatinya hancur, pedih. Dia dapat melihat bayangan kepayahan dan kepedihan di dalam mata Asnawi. Ketegangan urat-urat rahangnya. Dia pasti Asnawi turut merasa amat payah untuk meluahkan kata-kata sebegitu. Tetapi dia tidak faham mengapa Asnawi begitu tegar mengucapkannya.

Dayana berdiri kaku. Matanya merenung jauh ke hujung tasik. Tiada genangan air mata lagi. Akal fikirannya mengatakan bahawa ini semua adalah mimpi semata-mata. Asnawi masih seperti dulu. Penyayang dan mencintainya dengan sepenuh hati. Cuma saat ini perasaan Asnawi keliru. Ya, buah hatinya ini hanya keliru dalam perasaan. Dia akan sedar nanti. Dan Asnawi akan meminta maaf dan meneruskan percintaan mereka. Dayana amat pasti dengan kata-kata di fikirannya ini.

Kedua tangannya segera diselukkan ke saku agar Asnawi tidak dapat melihat bagaimana menggeletarnya mereka.


Posted at 11:52 am by diari_alya

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry